Kongres ketiga Kongres_Bahasa_dan_Persuratan_Melayu

Kongres ketiga KBPM berlangsung pada 16-21 September 1956 di Johor Bahru dan Singapura dan dihadiri oleh lebih kurang 500 orang perwakilan dan pemerhati dari 59 buah badan bahasa dan persuratan Melayu dari seluruh Malaya. Beberapa orang wakil rasmi dari Indonesia yang diketuai oleh Menteri Pendidikan Pengajaran dan Pendidikan Indonesia, Profesor Prijana turut hadir. Rumusan yang dipersetujui adalah:

  • Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) hendaklah ditubuhkan sebagai pusat bagi menjaga hal-ehwal dan perkembangan bahasa dan persuratan Melayu supaya tidak cacat asal usul bahasa Melayu serta menjadi pendorong kepada perkembangan kebudayaan rakyat Tanah Melayu kelak; DBP hendaklah menyiasat, membongkar dan mengumpulkan semula serta menghalusi hasil kesusasteraan Melayu semenjak zaman purba, selain DBP ditubuhkan bertujuan untuk mewujudkan butir tentang taraf, pentadbiran, pengelolaan jabatan dan bahagiannya serta tugas yang seharusnya dijalankan oleh DBP turut diputuskan.
  • Bahasa Melayu yang diakui sebagai bahasa kebangsaan hendaklah disempurnakan keadaannya dan diamalkan sebagai bahasa rasmi negara; DBP ditugaskan bagi menerbitkan hasil kesusasteraan yang bernilai untuk menyempurnakan perkembangan prosa dan puisi Melayu (lama dan baru); unsur kebangsaan hendaklah ditanamkan sebanyak mungkin dalam lagu kebangsaan dan patriotik bagi memelihara keasliannya; udang-undang negara tentang perlindungan hak cipta hendaklah diadakan; dan pihak pengusaha filem melayu hendaklah mengambil berat untuk menggunakan bahasa Melayu yang baik dalam filem terbitannya.
  • Membentuk suatu jawatankuasa kecil yang dianggotai oleh ahli seni lukis Melayu dan pakar bahasa Melayu untuk membentuk perkataan baru bagi menyatakan benda dan fikiran baru dalam seni lukis; mengambil terus perkataan asing yang mudah sebutan dan ejaannya dengan tidak mengubah bunyi dan ejaannya itu; mengambil perkataan asing yang keras sebutannya dan ganjil ejaannya dengan memadankan bunyi perkataan tersebut itu dengan lidah dan ejaan Melayu; dan menyiasat dan menimbulkan semula perkataan Melayu yang sedia ada dalam seni ukir dan sebagainya untuk kegunaan dalam lapangan seni lukis.
  • Lembaga Tetap Kongres hendaklah mendesak jabatan yang tertentu di DBP supaya menyusun kamus khas berkenaan dengan seni rupa; menterjemahkan buku tentang fikiran Timur dan Barat tentang seni lukis; menyusun buku baru yang mengandungi lukisan pilihan dengan kritikan secara ilmiah; dan menyusun buku baru daripada hasil penyelidikan tentang seni rupa bangsa Melayu.
  • Bahasa Melayu hendaklah diperluaskan penggunaannya dalam pelbagai bidang seperti pertanian, penternakan, pentadbiran, perusahaan, penyiaran, persuratkhabaran dan sebagainya.
  • Mengusulkan kepada jabatan Pelajaran Tanah Melayu dan Singapura supaya bahasa Melayu digunakan seluas-luasnya dalam kursus kelas dan akademi seni lukis.
  • Bahasa Melayu dan bahasa Indonesia yang berbeza-beza sedikit akan perihal ejaannya, dan hal-hal lain berkaitan harus disatukan, kerana asal dan dasar bahasa Melayu dan bahasa Indonesia itu sama sahaja.
  • Lembaga Bersama Melayu-Indonesia hendaklah diadakan untuk menyatukan bahasa Melayu dan bahasa Indonesia; mempelajari dan menyelenggarakan hal tentang tatabahasa, istilah dan kamus; dan lembaga ini hendaklah bekerjasama dengan kerajaan.
  • Selain membincangkan kertas kerja tentang penubuhan DBP, penggunaan bahasa Melayu dalam pelbagai bidang, dan penyatuan bahasa Melayu dengan bahasa Indonesia, kongres ini juga turut membincangkan cara mengembangkan bahasa kebangsaan menerusi persekolahan dan pendidikan.

Rujukan

WikiPedia: Kongres_Bahasa_dan_Persuratan_Melayu http://arkibattakiri.blogspot.com/2009/02/kesan-sa... http://kembarabahasa.blogspot.com/2011_10_01_archi... http://wwwdakabeblogpotcom.blogspot.com/2011/06/ko... http://melayuonline.com/ind/culture/dig/1817/kongg... http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Kongres... http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt... http://klikweb.dbp.my/?p=1416 http://www.dbp.gov.my/klikdbp/klikdbp1nov6.pdf http://plm.org.my/wrdp1/?page_id=197 http://pdffinder.net/Kongres-Bahasa-dan-Persuratan...